Laluan-laluan Utama Bandaraya KK Ditutup Sempena Borneo International Marathon Ahad Ini

Laluan-laluan Utama Bandaraya KK Ditutup Sempena Borneo International Marathon Ahad Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di sekitar bandaraya ini akan ditutup secara berperingkat pada Ahad ini (11 Mei) bagi memberi laluan kepada penganjuran Borneo International Marathon (BIM) 2025 yang dijangka disertai hampir 8,000 pelari tempatan dan antarabangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata penutupan akan bermula seawal 1.00 pagi hingga 10.00 pagi, melibatkan laluan utama sekitar Kompleks Sukan Likas, Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Lintas, serta Jalan UMS.

“Penutupan ini penting bagi memastikan keselamatan semua peserta dan kelancaran lalu lintas semasa acara berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, seramai empat pegawai dan 90 anggota polis akan dikerahkan sepanjang acara itu untuk mengawal lalu lintas dan membantu penganjur di lokasi strategik.

Acara marathon itu merangkumi empat kategori larian iaitu 42KM, 21KM, 10KM, serta 3KM bagi peserta Orang Kurang Upaya (OKU). Semua kategori akan bermula dan berakhir di hadapan Stadium Hoki Kompleks Sukan Likas.

“Laluan yang akan dilalui peserta termasuk kawasan-kawasan sibuk seperti Bulatan Istiadat, Jalan Karamunsing, Jalan Kopungit, Jalan Tuaran Bypass dan beberapa simpang utama. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal,” tambah Kasim.

Penutupan jalan sementara akan bermula jam 5.30 pagi, khususnya bagi kategori 10KM.

Antara lokasi yang terlibat ialah Bulatan Bunga Raya, di mana kenderaan dari arah KK Bypass akan dilencongkan ke Jalan Coastal atau berpatah balik.

Di Susur JQ, akses dari pusat bandar ke Tanjung Lipat akan ditutup dan pengguna disaran melalui Jalan KK Bypass atau Jalan Lintas ke arah UMS.

Bagi pengguna dari arah luar bandar menuju ke pusat bandar, mereka digalakkan menggunakan Jalan Bukit Bendera atau Jalan Istana.

Manakala trafik di Bulatan Masjid Bandaraya akan dialihkan ke Jalan Tuaran KK.

“Pihak polis akan menilai pembukaan semula jalan secara berperingkat mengikut keadaan keselamatan peserta dan lalu lintas semasa,” kata Kasim lagi sambil menyeru orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas keselamatan.

“Kerjasama masyarakat amat kami hargai bagi memastikan acara ini berjalan dengan lancar dan selamat,” tegas beliau.