Kastam Serbu Dua Premis Tampal Setem Cukai Palsu Pada Arak Di Tawau

Kastam Serbu Dua Premis Tampal Setem Cukai Palsu Pada Arak Di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Dua premis di bandar ini yang disyaki melekatkan setem cukai kastam palsu pada minuman keras yang dijual diserbu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi berasingan pada Khamis lalu (25 Jun).

Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata pihaknya merampas 6,481 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM362,319 termasuk cukai.

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah melekatkan setem cukai kastam palsu pada botol arak keluaran tempatan untuk mengaut keuntungan selain mengelak dikenakan cukai.

“Dua lelaki tempatan yang juga pemilik premis masing-masing berumur 55 dan 46 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Zon Tawau semalam.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“JKDM memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.