‘Runner’ Minyak Tawau Ditahan Maritim Malaysia

‘Runner’ Minyak Tawau Ditahan Maritim Malaysia

0
SHARE

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot penumpang tempatan disyaki ‘runner minyak’ yang membawa muatan bahan api tanpa sebarang permit dalam kejadian lewat petang Rabu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS berjaya mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 6.20 petang.

“Pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali oleh seorang lelaki warga Indonesia berumur 42 tahun itu mendapati terdapat lima gelen bahan api jenis petrol dan diesel anggaran 150 liter serta dua tong gas LPG dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

“Bot serta muatan tersebut dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kesemua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25 ribu,” katanya.

Shahrizan menjelaskan modus operandi yang digunakan oleh ‘runner minyak’ dengan membawa bahan api tersebut dalam kuantiti yang kecil secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang-barang kawalan tersebut ke negara jiran.

“Penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” katanya.