KINABATANGAN: Seorang lelaki bukan warganegara berusia lingkungan 30 tahun dikhuatiri dibaham buaya selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Sungai Suan Lamba, berhampiran Ladang Sepagaya, Kinabatangan pada Khamis lalu masih belum berjaya ditemui hingga kelmarin.
Menurut kenyataan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kinabatangan, mangsa dipercayai menjalankan aktiviti merambat atau menjala ikan sekitar jam 12 tengah hari pada 1 Mei 2025 sebelum disedari tidak pulang ke rumah.
“Hanya selipar dan peralatan menjala milik mangsa ditemui di tebing sungai, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku serangan buaya.
“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan pada 2 Mei jam 4.10 petang dan segera menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi yang terletak kira-kira 42 kilometer dari balai.
“Pada hari ketiga operasi (4 Mei), pasukan SAR diketuai Ahmad Pramuja Zainadun bersama empat anggota bomba dari BBP Kinabatangan, anggota polis, dan orang awam memulakan pencarian pada jam 10.36 pagi.
“Operasi pencarian menggunakan dua buah bot milik penduduk kampung dengan teknik pencarian permukaan (surface searching) meliputi radius enam kilometer sepanjang sungai.
“Bagaimanapun, sehingga operasi ditamatkan pada jam 6.43 petang, mangsa masih belum ditemui. Keputusan untuk menangguhkan operasi dibuat selepas perbincangan dengan pihak polis dan akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Mangsa yang dipercayai berketurunan Suluk dan bukan warganegara itu masih belum dikenalpasti identitinya secara rasmi kerana tiada dokumen pengenalan ditemui.
JBPM turut mengingatkan penduduk yang tinggal berhampiran sungai agar lebih berhati-hati dan mengelakkan daripada melakukan sebarang aktiviti berhampiran kawasan yang dikenali sebagai habitat buaya, terutama pada waktu tertentu yang berisiko tinggi.