KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan bahawa penutupan sementara Blok D, Jalan Gaya akan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada Projek Naik Taraf Permukaan Jalan Raya, bermula 1 November 2025 (Sabtu) hingga 1 Disember 2025 (Isnin).
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK, penutupan tersebut hanya melibatkan kawasan Blok D.
“Manakala aliran trafik di Blok A, B dan C di sepanjang Jalan Gaya akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf dijalankan.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar mematuhi papan tanda sementara serta berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan, bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau kejadian tidak diingini semasa proses pembinaan berlangsung,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Berdasarkan peta lokasi yang dikeluarkan bersama notis itu, kawasan pembinaan melibatkan bahagian jalan berhadapan Blok D, Jalan Gaya, dengan laluan alternatif disediakan di sekeliling kawasan tersebut bagi memastikan kelancaran trafik.
Kerja-kerja ini merupakan sebahagian daripada usaha DBKK untuk menambah baik infrastruktur bandar dan meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di pusat bandar Kota Kinabalu.
DBKK turut menyeru semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan lebih awal dan mengikut panduan laluan sementara sepanjang tempoh kerja dijalankan.






