KOTA KINABALU, SABAH – Kekurangan bekalan daging ayam di Sabah dijangka kembali stabil bermula minggu hadapan berikutan permintaan dan pembelian yang tinggi bagi keperluan perayaan Tahun Baru Cina.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan, terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, serta para pemain industri bagi memastikan bekalan daging ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi di pasaran.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di pasar raya utama sekitar daerah Putatan bersama sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP semalam (4 Februari) mendapati berlakunya kekurangan daging ayam di premis-premis terbabit.
Senarai harga ayam…
“Pada masa yang sama, terdapat ladang-ladang serta pembekal-pembekal daging ayam yang bercuti semasa Tahun Baru Cina dan ini menyebabkan penghantaran daging ayam lewat dan bekalan kurang di premis-premis tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 11,243 pemeriksaan premis perniagaan di seluruh Sabah telah dilaksanakan sejak mula berkuat kuasanya Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) pada 7 Disember 2021 sehingga pada 4 Februari 2022.
Sepanjang tempoh tersebut, 65 kes telah dihasilkan oleh KPDNHEP Sabah dengan nilai rampasan keseluruhan kes bernilai RM4,274.
“Semua 65 kes berkenaan telah dikompaun dengan jumlah keseluruhan bayaran kompaun sebanyak RM8,400…
Pihak KPDNHEP semasa menjalankan pemeriksaan di sebuah pasaraya…
“Kebanyakan tindakan kes yang direkodkan adalah kesalahan peniaga yang gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan kawalan musim perayaan, tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual dan kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
“Juga terdapat satu aduan diterima oleh KPDNHEP Sabah semasa SHMKM 2022 iaitu aduan berkaitan dengan penjualan barang kawalan SHMKM yang melebihi harga maksimum. Aduan tersebut telah disiasat dan tindakan kes telah dihasilkan,” tambahnya.
Dengan itu beliau berharap agar semua peniaga terus mematuhi langkah intervensi pihak Kerajaan dengan pelaksanaan Harga Maksimum bermula 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022 bagi ayam dan telur ayam Gred A, B dan C).