Empat Cedera, Enam Selamat Van Dinaiki Terbabas Sendiri di Inanam

Empat Cedera, Enam Selamat Van Dinaiki Terbabas Sendiri di Inanam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Empat individu cedera manakala enam lagi terselamat selepas sebuah van yang mereka naiki terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kemalangan di Jalan Sekolah Rendah Kionsom, Inanam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, seramai 10 mangsa dilaporkan terlibat apabila kenderaan jenis Toyota Hiace berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.34 malam.

Menurutnya, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas bersama sebuah jentera FRT dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.

“Kemalangan melibatkan sebuah van yang terbabas sendiri ke bahu jalan dengan jumlah mangsa seramai 10 orang. Enam mangsa tidak mengalami kecederaan, dua mangsa cedera ringan manakala dua lagi mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pasukan bomba bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera di lokasi kejadian.

Menurutnya, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, ambulans APM serta jentera EMRS bomba untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Stanley Peliment itu tamat sepenuhnya pada jam 11.45 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.