KPDN Terus Pantau Isu Kurma Israel Dalam Pasaran Tempatan

KPDN Terus Pantau Isu Kurma Israel Dalam Pasaran Tempatan

0
SHARE
KPDN terus pantau penjualan kurma dari Israel dalam pasaran tempatan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) akan terus membuat pemantauan di pasaran berhubung isu penukaran label dan penjualan kurma dari Israel .

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan untuk mengelirukan pengguna. 

“Di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan panelti.

“Bagi individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala jika syarikat pula boleh didenda sehingga RM250,000,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) yang bertanya, apakah tindakan yang telah diambil KPDN susulan pembongkaran terdapatnya kurma berasal dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia, yang jelas bertentangan dengan pendirian negara memboikot produk dari Israel itu.

Tambah Armizan, kementeriannya turut menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dan sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan boleh mengemukakan aduan bersama butiran dan maklumat lengkap kepada KPDN.

Pada 12 Mac lalu, Kastam telah merampas 73 pek buah kurma ‘Organic Jumbo Medjool Dates’ yang dipercayai produk dari Israel dalam serbuan sebuah gudang di Pelabuhan Utara Klang Selangor.

“Dalam serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.