Dhania Peserta Termuda Dinobat Naib Juara Bintang RTM 2024

Dhania Peserta Termuda Dinobat Naib Juara Bintang RTM 2024

0
SHARE
Dhania Peserta Termuda Dinobat Naib Juara Bintang RTM 2024

KOTA KINABALU: Dayang Irsyadhania Binti Iraril atau lebih dikenali sebagai
Dhania yang berumur 15 tahun berasal dari Kg Brunei Kimanis, Papar telah dinobatkan
sebagai Naib Juara Bintang RTM 2024 pada 24 Februari lalu menerusi sebuah program realiti television anjuran Rancangan Television Malaysia.

Menerusi program tersebut, BRTM 2024 telah menyerlahkan bakat dan kekuatan vokal Dhania.

Dalam program ini, Dhania merupakan peserta termuda dan keunikan suara beliau walaupun berumur 15 tahun menjadi topik hangat kerana berjaya memukau penonton terutamanya barisan para juri dengan vokal nyanyiannya yang unik mampu memenangi juara mingguan sebanyak dua kali menerusi lagu ‘Loyal Brave True’ yang dipopularkan oleh Christina Aguilera dan ‘House of the Rising Sun’ dinyanyikan oleh The Animals.

Persembahan Dhania yang energetik dan sering memberi kelainan dalam setiap persembahannya menjadikan beliau antara salah satu peserta yang konsisten dan
mempunyai auranya yang tersendiri.

Selain itu, Dhania juga mempunyai ‘Support system’ terutamanya keluarga beliau dan
juga keluarga AJ Productions yang sentiasa memberikan sokongan mahupun semangat
kepada beliau semasa bertanding dalam program tersebut.

Ketua Pegawai Operasi AJ Productions, Jasnie Mohd Yaakub berkata, pihaknya telah melihat potensi Dhania dan mengikuti perkembangan bakat beliau sejak berumur 13 tahun melalui pertandingan Bintang Suara Impian anjuran AJ Productions.

“Ini telah membawa Dhania bertanding ke peringkat antarabangsa melalui pertandingan World Championships of Performing Arts di Los Angeles yang telah membawa pulang pingat World Division, Emas, Perak dan Gangsa pada tahun 2022.

“Tambahan lagi, apabila Dhania dinobatkan sebagai Naib Juara BRTM 2024, kami akan membantu Dhania mengembangkan lagi bakatnya,” katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, Dhania turut berkongsi rasa syukurnya kerana usaha dan titik peluh sepanjang program tersebut membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada Dhania khasnya kepada ibu bapa, adik beradik, saudara mara, cikgu-cikgu, keluarga AJ Productions, rakan-rakan dan penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat sejak dari mula Dhania berkecimpung dalam bidang nyanyian sehingga hari ini.

“Terima Kasih juga kepada pihak AJ Productions Sdn Bhd terutamanya Puan Asmi
Datuk Andi Yakin (Ketua Pegawai Eksekutif AJ Productions) dan Tuan Jasnie Mohd Yaakub kerana sentiasa memberikan sokongan yang padu dari semua aspek.

“Selain itu, Dhania juga ingin berterima kasih kepada semua yang datang ke program Santai Bersama Dhania pada hari ini. Santai Bersama Dhania ini merupakan tanda penghargaan Dhania kepada mereka yang telah menyokong Dhania selama ini dan memohon agar terus menyokong Dhania,” katanya.