
TENOM, SABAH – Kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah adalah lambang rakyat yang bersatu padu dan cinta kepada negara.
Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri juga merupakan penzahiran rakyat untuk menghargai dan mengenang para pejuang kemerdekaan yang mempertahankan kedaulatan negara.
“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia di Sabah agar kita mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah di setiap di rumah dan kenderaan masing-masing bagi menunjukkan rakyat yang bersatu padu dan cintakan kepada negara.
“Dengan mengibar Jalur Gemilang dan Bendera Sabah, kita dapat mengenang jasa pahlawan-pahlawan negara dan anggota keselamatan yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) dan Hari Sabah Peringkat Daerah Tenom.
Mengulas lanjut, ujar beliau, program tersebut bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan rakyat untuk menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah secara serentak mulai tahun ini.
“Hari Kebangsaan adalah pada 31 Ogos iaitu hari kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Hari kemerdekaan bagi Sabah ialah 1963 yang merupakan tarikh penting bagi Hari Kebangsaan.
“Pada hari ini (semalam), kami bersama-sama dengan agensi kerajaan negeri dan persekutuan untuk menyemarakkan lagi hari kebangsaan di mana kita akan melakukan banyak program.
“Antaranya, konvoi KMJG yang bermula dari Daerah Kecil Kemabong dan pada hari ini (semalam) di Pekan Tenom dan akan bersambung esok pagi ( hari ini ( di Kampung Pangi,” jelas beliau.
Pada majlis itu, Riduan diiringi Pegawai Daerah, Mas Syazwan Masood dan Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa menyampaikan Jalur Gemilang kepada Ibu Pejabat Daerah Tenom, Pejabat Daerah Tenom, Pejabat Parlimen Tenom, UPPM Melalap dan Komuniti Madani (KM).
Manakala, Supian turut menyampaikan Watikah Penubuhan KM DUN Melalap kepada KM Mukim Melalap, KM Pekan Tenom dan KM Sabaka Saga.
Kira-kira 1,000 orang hadir di Padang Pekan Tenom yang melibatkan acara perbarisan oleh 17 kontinjen jabatan serta agensi negeri dan persekutuan di daerah berkenaan, selain demonstrasi pemadaman api oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. — JABATAN PENERANGAN SABAH