30 Pelajar UMS Dilantik Duta CelcomDigi, Fokus Keselamatan Internet Komuniti

30 Pelajar UMS Dilantik Duta CelcomDigi, Fokus Keselamatan Internet Komuniti

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Duta Pelajar melalui Program CelcomDigi X UMS Student Ambassador: S.A.F.E Internet Awareness untuk meningkatkan kesedaran keselamatan internet, etika penggunaan teknologi, dan pencegahan penipuan digital dalam komuniti setempat.

Program kolaborasi antara CelcomDigi Berhad dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS ini turut melibatkan Persatuan Mahasiswa FPEP (PMPEP), bagi memperkukuh jaringan universiti–industri–komuniti.

Para pelajar yang dilantik akan menerima latihan modul khas CelcomDigi sebelum terlibat dalam program khidmat komuniti di kampung serta sekolah rendah dan menengah sekitar UMS.

Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim, berkata inisiatif itu bukan sahaja membolehkan pemindahan ilmu secara berkesan, tetapi juga melahirkan pelajar berpengetahuan, berkeyakinan, dan mampu menjadi ejen penyebaran kesedaran digital.

Program itu selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya pendidikan berkualiti dan pembinaan komuniti mampan.

Majlis perasmian turut disertai Ketua HRBP Komersial CelcomDigi, Samuel Danker, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan, serta pemimpin pelajar UMS.

Watikah pelantikan disampaikan kepada wakil pelajar, Azura, yang akan mengetuai pelaksanaan program.