Perpaduan Sedia Ada GRS-PH Perlu Diteruskan Pada Pilihan Raya Akan Datang –...

Perpaduan Sedia Ada GRS-PH Perlu Diteruskan Pada Pilihan Raya Akan Datang – Armizan

0
SHARE
Armizan ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon1A di Dewan Komuniti Kota Marudu.

KOTA MARUDU:Ahli Parlimen Papar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berpandangan perpaduan sedia ada antara GRS dengan Pakatan Harapan (PH) perlu diteruskan dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak mempunyai formula masing-masing di mana pada hakikatnya kerajaan negeri di Sabah pada hari ini adalah sebuah kerajaan Perpaduan dengan acuan sendiri yang melibatkan gabungan GRS-PH Plus.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak wajar timbul soal kerajaan negeri tidak ikut atau sebaliknya mengenai formula kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

“Pertama, Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani melalui Kerajaan Perpaduan Malaysia pada 16 Disember 2022 adalah untuk penubuhan kerajaan Persekutuan sahaja.

“Tidak ada dalam MoU tersebut yang berbicara tentang mana-mana kerajaan negeri, apatah lagi mewajibkan komposisi yang sama dibentuk di peringkat negeri,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Jelajah Wanita GRS Zon 1A, di Dewan Komuniti Kota Marudu di sini, hari ini.

Armizan yabg juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, keduanya pula komposisi kerajaan Sabah hari ini iaitu GRS-PH Plus dibentuk selepas pembentukan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Inilah formula kerajaan Perpaduan di Sabah, kerajaan GRS-PH Plus. Ia terbentuk pasca ‘kudeta’ yang gagal. Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS, semua ADUN PH dan beberapa ADUN daripada parti lain membuat keputusan supaya Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan GRS amat menghargai sokongan dan kebersamaan mereka.

“Ketiga, pembentukan sesebuah kerajaan tidak seharusnya berdasarkan faktor ikut-ikutan atau paksaan, tetapi hasil muafakat dan saling kepercayaan.

“Sekiranya sesebuah parti tidak selesa bekerjasama dengan GRS dan dizahirkan dengan cubaan ‘kudeta’, tidak adil dan tidak wajar untuk memaksa mereka untuk memilih GRS hanya kerana faktor kewujudan kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

“Di pihak GRS, kita juga mahu mengelakkan risiko sejarah berulang. Tiba pilihan raya, kita mahu membentuk kerajaan yang stabil melalui permuafakatan. Bukan sahaja GRS perlu percaya kepada rakan kongsi, tetapi mereka juga perlu selesa dan yakin dengan kita,” katanya.