230 Individu Terima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Sabah

230 Individu Terima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Sabah

0
SHARE
Juhar
Mandela (kiri) ketika dipakaikan selempang oleh Tun Juhar ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 230 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Pengurniaan dimulakan dengan penganugerahan darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” kepada lapan penerima antaranya, Pengarah Kerja Raya Sabah Datuk Arman Abdul Muin dan Setiausaha Perhubungan Awam Kepada Ketua Menteri, Datuk Effendi Mohd Sunoh.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Setiausaha Sulit Kanan Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Pengarah Lembaga Koko Datuk Dr Philiph @ Ramlee Kasin.

Istiadat pengurniaan disempurnakan oleh Tun Juhar dalam sesi ketiga yang turut diserikan dengan kehadiran isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.

Istiadat pengurniaan diteruskan dengan penganugerahan 39 Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) dan antara penerimanya, ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Stanley Chong Hon Chung, Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang dan bekas pemain pertahanan bola sepak Sabah, Matusin Bowie @ Matius.

Sementara itu, Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pula dianugerahkan kepada 58 individu antaranya, Pegawai Daerah Beluran Roger Appolonius, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Faridah Giau dan Penolong Setiausaha Pegawai Tadbir Diplomatik Pejabat Persekutuan Sabah, Patrick Laing Ngau.

Pada istiadat tersebut, Tun Juhar turut menyampaikan anugerah Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada 50 penerima dan salah seorang penerimanya ialah Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Pusat Kepayan, Jaini Ayong Rajawa.

Manakala, dua Jurufotografi Jabatan Penerangan Sabah iaitu Azman Jumat dan Vicky Sylverter Matanjang bersama dua Penolong Pegawai Tadbir Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Emmanuel Gerald Justin dan Norsarahana Zaki turut dikurniakan Bintang Kinabalu (BK) bersama 41 penerima lain, diikuti dengan penganugerahan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) kepada 34 penerima. — JABATAN PENERANGAN SABAH