Tujuh Kumpulan Inovasi Terima Anugerah Utama iSAS

Tujuh Kumpulan Inovasi Terima Anugerah Utama iSAS

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (tengah) menyampaikan hadiah kepada DBKK ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak tujuh kumpulan inovasi daripada agensi awam persekutuan dan negeri menerima anugerah utama dalam Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (iSAS) 2023.

Setiap kumpulan pemenang membawa pulang RM2,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji di Menara Kinabalu, pada Khamis.

Bagi kategori persekutuan, Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (Penyampaian Perkhidmatan Kreatif) dimenangi Geng Iski Sekolah Kebangsaan Kimanis dengan projek bertajuk “Aplikasi Eronda”.

Tempat pertama Kategori Penyampaian Perkhidmatan Inovatif pula diungguli Elite Data Herder-Universiti Malaysia Sabah dengan projek Inovasi Rekod Kehadiran Pelajar Menggunakan Beacon.

Sementara itu, Kumpulan PSS Mantap-Politeknik Sandakan Sabah memenangi Kategori Inovasi Sosial Inovatif dengan projek Intelligence Microbubble Tilapia System (IMTS).

Manakala kumpulan Sinergi – Komsat Universiti Teknologi Mara Sabah dengan projek Looptrics dianugerahkan johan Kategori Inovasi Sosial Kreatif.

Bagi anugerah kategori sektor awam negeri pula, kumpulan SIG-Sabah Net Innovation Group – Sabah Net Sdn Bhd mengungguli dengan inovasi KSTI Digital Space (Penyampaian Perkhidmatan Kreatif).

Sementara itu, projek LMO.ID Ver 2.0 (SYBR-MELT) daripada kumpulan MYVETPCR Jabatan Perkhidmatan Awam Veterinar berkaitan kit pengesanan Salmonella menerima anugerah Penyampaian Perkhidmatan Inovatif.

Manakala, Kerangka Kerja Pembangunan Pelancongan Berasaskan Komuniti Lestari (FCBET) dari kumpulan Q-ARTZ Crew Dewan Bandaraya Kota Kinabalu memenangi Anugerah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (Inovasi Sosial Inovatif).

iSAS 2023 mengiktiraf usaha cemerlang penjawat awam yang berdedikasi dan sebagai saluran kerajaan negeri dan persekutuan mempromosikan pemikiran inovatif untuk memberi inspirasi pembudayaan inovasi dalam perkhidmatan awam. — JABATAN PENERANGAN SABAH