TAWAU: Seorang penjawat awam mendapati rumah kebun miliknya bertempat di Jalan Garson Spur Apas Balung telah dipecah masuk dan beberapa peralatan didapati hilang tampil di Balai Polis Sri Indah untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Polis Daerah Tawau dalam satu kenyataan memaklumkan, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau menggerakkan operasi bagi mengesan ‘Geng Ali Baba’ yang disyaki terlibat dengan kes pecah rumah tersebut.
“Serbuan pertama yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Inderasabah, pihak polis berjaya menahan seorang suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur anggaran 21 tahun serta merampas satu set pembesar suara berwarna hitam.
“Suspek kemudian memandu arah polis ke sebuah rumah tidak bernombor di kampung sama. Serbuan kedua yang dijalankan polis juga berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 30-an serta merampas lebih banyak barang dipercayai barang kes pecah rumah.
“Polis kemudian melakukan serbuan ketiga bertempat di Kampung Wakuba dan berjaya menahan suspek ketiga iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 60-an. Sebuah amplifier dan sebuah laptop turut dirampas semasa serbuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Jelas kenyataan itu lagi, kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.