PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyifatkan peruntukan RM5.39 bilion yang diterima menerusi Belanjawan 2023 adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memacu agromakanan sebagai sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata peruntukan yang diterima terbabit meningkat sebanyak 12.06 peratus berbanding RM4.81 bilion pada tahun lepas.
“Kementerian menyambut baik Belanjawan MADANI 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, khususnya di atas keprihatinan terhadap sektor pertanian.
“Belanjawan yang dibentangkan diyakini dapat mendepani cabaran sektor agromakanan antaranya pengeluaran, bekalan dan pemasaran makanan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut berjata inisiatif Belanjawan MADANI akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi selari objektif dan sasaran di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Katanya, sebagai peneraju agenda keterjaminan makanan negara, KPKM komited melaksanakan inisiatif Belanjawan 2023 secara cekap dan berhemat demi kesejahteraan rakyat
Selari dengan agenda agenda keterjaminan makanan, Mohamad juga menyambut baik pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan beras berjumlah RM1.6 bilion, selain tambahan RM228 juta sumbangan tunai serta perkongsian 30 peratus keuntungan bersih import beras kepada pesawah oleh BERNAS.
“Ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pesawah.
“Penggunaan automasi dan pendigitalan dalam sektor pertanian juga menyumbang kepada peningkatan kualiti pengeluaran dan produktiviti tenaga kerja.
“Sehubungan itu, inisiatif melalui dana Skim Pembiayaan Agrofood, program Digital AgTech, Elaun Modal Dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal ditekankan untuk memperluas dan memperkasa penerimagunaan teknologi moden,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak berkepentingan diperlukan bagi menjamin ekosistem agromakanan yang mampan.
“Malah, kerajaan turut menggalakkan pelaburan swasta berskala besar berasaskan pertanian bagi meningkatkan pengeluaran makanan.
“Saya menyambut baik agenda keterjaminan makanan merentas kementerian dan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dinyatakan dalam belanjawan ini. Ia termasuk inisiatif penanaman jagung bijian, Jualan Rahmah, platform Cloud Kitchen dan program Kebun Komuniti bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.





