UMNO Sabah Pertimbangkan Jalin Kerjasama Dengan Parti Politik Lain Hadapi PRN

UMNO Sabah Pertimbangkan Jalin Kerjasama Dengan Parti Politik Lain Hadapi PRN

0
SHARE
Umno
Sidang media Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ( Sumber Foto: Tangkap layar video tular )

KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersesuaian dalam persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin walau bagaimanapun berkata perkara terbabit akan diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO negeri.

“Kita akan mengadakan mesyuarat Biro Politik untuk mengkaji siapa rakan pada PRN nanti, ini perlu dibincangkan.

“Kita perlu ada rakan parti yang boleh membantu kita menang dan akan dimaklumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Dalam pada itu, Bung Moktar ketika ditanya parti mana yang akan UMNO pilih untuk bekerjasama dalam PRN kelak, beliau bagaimanapun tidak mengulasnya secara lanjut.

Namun demikian, Bung Moktar memberi bayangan seolah-olah cenderung untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Disamping itu, Bung Moktar juga menyatakan keyakinan pihaknya bahawa kombinasi beliau dan Abdul Rahman yang menerajui kepimpinan baharu UMNO Sabah akan mengukuhkan dan serta mengembalikan kembali kegemilangan parti terbabit dalam memerintah kerajaan negeri.

“Kita akan guna pakai kepakaran masing-masing untuk mengukuhkan UMNO Sabah,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar turut memaklumkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO telah dipecat dari parti terbabit.

Antara ADUN yang terlibat ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit).