KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah kini beroperasi dengan defisit sebanyak RM25.47 juta untuk tahun 2025.
Menterinya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, berkata Belanjawan “Sabah Maju Jaya, Rakyat Sejahtera” mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8 peratus (RM4.15 juta) berbanding tahun sebelumnya.
“Namun, peruntukan sebenar yang diperlukan MAFFI untuk membangunkan sektor pertanian pada tahun 2025 adalah sebanyak RM173.6 juta. Hanya RM148.13 juta diluluskan dalam Belanjawan 2025.
“Oleh itu, amat sukar bagi kita untuk mencapai objektif yang telah digariskan tahun ini. Saya kecewa dengan peningkatan kecil dalam peruntukan pembangunan untuk tahun 2025, memandangkan kita memerlukan peruntukan besar bagi membangunkan sektor pertanian, menyelesaikan masalah berkaitan, dan mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa sehingga November 2024, MAFFI telah menerima permohonan bernilai RM40.3 juta bagi menaik taraf atau menyelenggara jalan pertanian dari pelbagai daerah di Sabah. Namun, hanya RM4.2 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.
“Begitu juga dengan permohonan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang berjumlah RM27.5 juta, tetapi hanya RM2.5 juta yang diluluskan.
“Saya telah merayu kepada Kabinet untuk mempertimbangkan semula peruntukan sebanyak RM30 juta daripada dana interim RM600 juta bagi pembangunan industri padi di Sabah.
“Dengan peruntukan ini, saya yakin kita dapat meningkatkan kadar sara diri padi kepada 30 peratus menjelang 2027 dan seterusnya 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Dr Jeffrey berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Tahun Baharu Cina 2025 anjuran kementerian itu di ibu pejabat MAFFI, di sini, pada Jumaat.
