Trump Cetus Kontroversi Muat Naik Gambar Dirinya Sebagai Pope

Trump Cetus Kontroversi Muat Naik Gambar Dirinya Sebagai Pope

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar olok-olok dirinya berpakaian seperti Paus di platform Truth Social.

Ini cuma beberapa hari sebelum kardinal-kardinal Katolik memulakan konklaf untuk memilih pengganti mendiang Pope Francis.

Gambar yang kelihatan dijana oleh AI itu menunjukkan Trump dalam jubah putih, memakai topi mitra dan salib emas, sambil mengangkat jari ke langit.

Tindakan itu dibuat selepas beliau bergurau kepada media bahawa beliau ingin menjadi paus seterusnya.

Ditanya siapa yang patut menggantikan Pope Francis, Trump menjawab: “Saya mahu jadi paus, itu pilihan nombor satu saya.”

Beliau turut menyebut seorang kardinal di New York yang disifatkan sebagai “sangat baik”, dipercayai merujuk kepada Archbishop Timothy Dolan.

Namun, Persidangan Katolik Negeri New York mengecam gambar tersebut, menyifatkannya tidak sensitif.

“Kami baru sahaja mengebumikan Pope Francis. Jangan mempersendakan kami,” katanya di platform X.

Trump menghadiri pengebumian Pope Francis minggu lalu, lawatan luar negara pertamanya sejak kembali berkuasa.

Beliau sebelum ini sering dikritik oleh Pope Francis, terutama berhubung dasar imigresennya.

Konklaf pemilihan paus baharu dijadual bermula 7 Mei di Vatican.