KOTA KINABALU: Langkah mencalonkan Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri Sabah akan datang dianggap berisiko, menurut penganalisis politik.
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Bilcher Bala, berkata Bung masih dikaitkan dengan cubaan menggulingkan Ketua Menteri Hajiji Noor pada 2023, yang boleh menjejaskan peluang BN dan mempercepatkan kemerosotan Umno di Sabah.
“Dari sudut strategi politik, menjadikan Bung sebagai wajah BN adalah satu pertaruhan berisiko,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa gaya kepimpinan Bung juga kadang kala dianggap kasar.
Seorang lagi penganalisis UMS, Syahruddin Awang Ahmad, berkata kempen BN perlu dirancang dengan teliti agar isu perbicaraan rasuah Bung dan persepsi negatif terhadap personalitinya tidak mengaburi matlamat utama parti.
Sebelum ini, Umno Sabah mencadangkan Bung yang juga bekas timbalan ketua menteri, sebagai calon paling layak untuk menjadi poster boy BN.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, berkata tradisi tersebut konsisten dengan peranan pengerusi BN negeri.
Namun, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata belum tiba masanya untuk menentukan calon poster boy kerana fokus kini adalah memastikan kemenangan calon-calon BN.
Beberapa penganalisis juga berpandangan, pengumuman calon poster boy lebih awal berisiko menjejaskan rundingan kerjasama BN dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya negeri yang mesti diadakan selewat-lewatnya Disember ini.