Penunggang Maut Dalam Kemalangan Berhampiran Aeropod

Penunggang Maut Dalam Kemalangan Berhampiran Aeropod

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motosikal di Jalan Kepayan berhampiran Flyover Aeropod, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dipercayai dalam perjalanan dari arah Putatan menuju ke pusat bandar sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sendiri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan pada jam 10.33 malam.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.

Kasim turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhemah demi keselamatan semua pihak.