Kencing Atas Penumpang Pesawat, Polis Tahan Eksekutif Syarikat Perbankan AS

Kencing Atas Penumpang Pesawat, Polis Tahan Eksekutif Syarikat Perbankan AS

0
SHARE

NEW DELHI, INDIA – Seorang eksekutif syarikat perbankan Amerika Syarikat (AS), Wells Fargo, yang sudah dipecat, dituduh kencing atas seorang penumpang pesawat penerbangan Air India yang dinaikinya, kata jurucakap polis.

Shankar Mishra, yang juga bekas naib presiden bank berkenaan di India, melarikan diri daripada polis selepas seorang wanita warga emas melaporkan perbuatan jijik yang berlaku November lalu itu kepada pihak pengurusan syarikat penerbangan.

Menurut sumber media yang dipetik AFP melaporkan bahawa Mishra mematikan semua telefon bimbitnya tetapi kekal berhubungan dengan rakan menerusi media sosial dan melakukan transaksi menggunakan kad kredit di pusat IT India, Bengaluru, sekali gus mendedahkan lokasinya.

Dia kini dibawa ke ibu negara, New Delhi, di mana polis sedang menyiasat dakwaan berkenaan.

Jurucakap polis di New Delhi mengesahkan penahanan Mishra kepada AFP tanpa memberi sebarang maklumat tambahan.

Pada Jumaat baru-baru ini, Wells Fargo berkata kakitangannya dipecat selepas dakwaan yang ‘amat membimbangkan’ itu didedahkan.

Mishra dilaporkan mabuk ketika menaiki pesawat dari New York ke New Delhi pada 26 November lalu, di mana dia didakwa membuka seluarnya 26 dan kencing ke atas seorang penumpang wanita berusia 72 tahun yang duduk di sebelahnya.

Air India berkata pihaknya gagal menangani isu berkenaan dan sedang meneliti dasarnya mengenai hidangan minuman keras dalam penerbangan.

“Kami mengakui isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan, baik ketika berada di lapangan terbang mahu pun di udara, dan kami komited untuk mengambil tindakan sewajarnya,” kata Ketua Eksekutif Air India, Campbell Wilson, hari ini dalam kenyataan.

Syarikat penerbangan berkenaan, yang baharu dibeli oleh konglomerat Kumpulan Tata selepas berdekad di bawah kawalan kerajaan, menghadapi kecaman hebat mengenai cara mereka menangani isu berkenaan.

Badan kawal selia trafik udara India menegur Air India kerana gagal melaporkan kes itu apabila ia berlaku.