TAWAU: Usaha menaik taraf aset keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) perlu dipercepat, khususnya di lokasi strategik seperti Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh dan Kalabakan yang menjadi laluan utama ribuan kenderaan setiap hari.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd Zaki Harry Susanto, berkata peruntukan kira-kira RM21.2 bilion yang diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tahun 2026 perlu dimanfaatkan secara berfokus bagi memperkukuh keupayaan aset dan fasiliti agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan ESSCOM.
“RCP Sapi Nangoh khususnya memerlukan perhatian segera berikutan laporan serta maklumat awam mengenai kegiatan pembolosan pendatang tanpa izin (PTI) yang menggunakan taktik terancang melibatkan bas ekspres,” katanya.
Menurut beliau, antara modus operandi dikesan ialah PTI diarahkan turun sebelum tiba di RCP, disembunyikan dalam ruang bawah bas dan hanya dinaikkan semula selepas pemeriksaan dilepasi, dipercayai dengan penglibatan pemandu serta konduktor bas.
Mohd Zaki berkata, walaupun anggota keselamatan di RCP telah melaksanakan tugas dengan baik, situasi di lapangan memerlukan sokongan teknologi pemeriksaan yang lebih canggih bagi menutup ruang kelemahan.
“Sekurang-kurangnya RCP Sapi Nangoh perlu dibekalkan dengan mesin pengimbas atau peralatan setara yang mampu mengesan kehadiran manusia dalam kenderaan secara pantas dan tepat,” katanya.
Beliau turut mencadangkan RCP Kalabakan diberi keutamaan setara memandangkan peranannya sebagai laluan penting keluar masuk dari kawasan sempadan.
“Keselamatan di ESSZONE memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan aset fizikal, teknologi dan kebajikan anggota supaya peruntukan besar yang diumumkan benar-benar memberi impak di lapangan,” katanya.






