KOTA MARUDU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di daerah ini sejak 6 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simun Lomudin, berkata remaja berkenaan, Siti Nurfazirah Asmarullah, berbangsa Filipina, kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Kampung Bengkongan, Kota Marudu.
Menurut beliau, mangsa dipercayai keluar rumah kira-kira jam 7 malam bagi menghadiri Fun Fair di Pekan Baharu Kota Marudu sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah, sekali gus mendorong laporan polis dibuat oleh ahli keluarganya.
“Usaha mengesan mangsa telah dijalankan, namun sehingga kini remaja terbabit masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Simun berkata, mangsa mempunyai susuk badan kurus, berkulit cerah, bermata hitam, berketinggian paras dada, berambut hitam panjang paras dada serta berkening nipis.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan atau penemuan remaja berkenaan diminta menghubungi Sjn Stephen Wan di talian 019-4695081 atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu di talian 088-666249, atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.






