Ketua Menteri Tegaskan Komitmen Kerajaan Negeri Pelihara Perpaduan, Kestabilan Politik

Ketua Menteri Tegaskan Komitmen Kerajaan Negeri Pelihara Perpaduan, Kestabilan Politik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan komitmen teguh Kerajaan Negeri dalam memelihara perpaduan rakyat serta mengekalkan kestabilan politik demi kemajuan Sabah.

Beliau berkata, perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat dan kestabilan politik merupakan asas penting kepada pembangunan ekonomi negeri serta pertumbuhan pelaburan yang mampan.

“Perpaduan rakyat dan kestabilan politik adalah teras kepada kemajuan ekonomi serta keyakinan pelabur terhadap Sabah,” katanya dalam perutusan Krismas 2025, hari ini.

Dalam perutusan itu, Hajiji turut menggesa semua pihak agar terus menyemarakkan semangat Krismas yang berteraskan kasih sayang dan kemurahan hati, di samping meneguhkan komitmen terhadap toleransi, saling menghormati dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Beliau berkata, Krismas sebagai perayaan penting bagi komuniti Kristian, secara tradisinya menyatukan keluarga serta rakan-rakan, sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan sesama masyarakat.

Menurutnya, dalam kepelbagaian agama, etnik dan warisan budaya Sabah, sambutan Krismas memberi peluang berharga kepada semua lapisan masyarakat untuk bersatu, mengeratkan silaturahim dan memupuk keharmonian antara kaum.

Sambil menyampaikan ucapan Krismas kepada penganut Kristian, beliau berkata: “Semoga perayaan ini memenuhi rumah anda dan komuniti kita dengan kegembiraan, kedamaian dan keharmonian.”