Kolaborasi PERKESO, SUP Beri Manfaat Penjawat Awam

Kolaborasi PERKESO, SUP Beri Manfaat Penjawat Awam

0
SHARE
Sup
Sesi bergambar kenangan bersama kakitangan awam yang hadir ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pelbagai inisiatif-inisiatif baharu telah disediakan PERKESO bagi memberi manfaat kepada semua penjawat awam persekutuan, kata Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin.

“Objektif Program ini ialah untuk PERKESO memberi penerangan kepada penjawat awam persekutuan negeri Sabah iaitu inisiatif-inisiatif dan program yang dilakukan oleh PERKESO.

“Dalam perjumpaan saya dengan pihak PERKESO, saya berpandangan bahawa PERKESO hanya menumpu kepada pekerja swasta tetapi sebenarnya banyak inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan pihak PERKESO yang menjurus kepada penjawat awam persekutuan.

“Perkongsian lebih lanjut berkaitan perlindungan -perlindungan yang disediakan oleh PERKESO akan dirungkaikan oleh ahli-ahli panel yang pakar dalam disiplin masing-masing,” katanya Ketika ditemui media selepas merasmikan Forum PERKESO Prihatin Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.

Tambah beliau, PERKESO juga telah meluaskan jaringan perlindungan atau “social safety net” kepada semua wanita yang bergelar suri rumah sama ada bekerja atau tidak bekerja.

“Program Keselamatan Sosial Suri Rumah adalah amat istimewa untuk menghargai dan memperkasa peranan wanita dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial.

“Selain tugas wanita bekerjaya dan tugas harian menguruskan rumah tangga, suri rumah juga berhadapan dengan pelbagai risiko.

“Oleh itu, skim perlindungan Suri Rumah memfokuskan kepada tiga perlindungan utama, iaitu bencana domestik, keilatan dan kematian. Premium perlindungan adalah serendah RM10 sebulan atau caruman RM120 setahun,” ujarnya.

Program yang julung kali di adakan bersama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, khas kepada anggota penjawat awam itu turut dihadiri Pengarah PERKESO Negeri Sabah, Dr. Mohd Ali Hindia dan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor. — JABATAN PENERANGAN SABAH