MUHYIDDIN DISAHKAN BAKAL DIDAKWA DI MAHKAMAH ESOK OLEH SPRM

MUHYIDDIN DISAHKAN BAKAL DIDAKWA DI MAHKAMAH ESOK OLEH SPRM

0
SHARE
Muhyiddin
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika dipanggil SPRM ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook Tuan Ibrahim Tuan Man )

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal didakwa di mahkamah esok.

Memetik sumber Berita Harian, Muhyiddin yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang sedang diambil keterangan oleh SPRM Putrajaya tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini.

“Esok beliau dijangka akan didakwa. Bukan hari ini,” katanya ketika dihubungi.

SPRM dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.

Muhyiddin dilihat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini sekitar 11.18 pagi, bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Dalam perkembangan lain, pada 18 Februari lepas, Ahli Parlimen Pagoh itu mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.

Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Sehari kemudian, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.