Fenomena Halo Di Sabah

Fenomena Halo Di Sabah

0
SHARE

TAMPARULI – Penduduk sekitar Kiulu dan Tamparuli, Sabah dikejutkan dengan fenomena halo iaitu lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari, hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, fenomena itu dikesan mulai 11.30 pagi tadi sebelum keadaan beransur kembali seperti sedia kala, pada 1.30 tengah hari.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Sabah ketika dihubungi berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana keadaan itu normal dan ia adalah satu fenomena semula jadi.

Katanya, dalam amalan pemerhatian cuaca, fenomena halo antara petunjuk yang boleh diguna untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam.

“Lapisan awan cirrostratus sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.

“Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan fenomena halo,” katanya.