Oleh: Mirlen Axtius
KUDAT: Seorang lelaki berusia 47 tahun mengalami cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 11, Jalan Kudat–Kota Kinabalu, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, motosikal mangsa yang turut membawa isterinya sebagai pembonceng dipercayai hilang kawalan ketika cuba mengelak seekor anjing yang melintas jalan.
Akibatnya, motosikal terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, kemalangan itu turut melibatkan sebuah lagi motokar, namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan kenderaan lain.
“Mangsa lelaki mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki manakala isterinya hanya cedera ringan dan kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Kudat untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat tindakan mengelak haiwan yang tiba-tiba melintas, yang menyebabkan kehilangan kawalan dan kemalangan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis turut meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.





