PAPAR: Polis merampas 936 ekor ayam sabung baka Filipina dan menahan tiga lelaki, termasuk dua warga asing, di Papar pada Jumaat lalu (25 Julai).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan pada jam 10.35 pagi di Kampung Kambizaan, Jalan Kayau Kambizaan itu dijalankan bersama cawangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kota Kinabalu, dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM4.7 juta.
“Antara barang yang dirampas termasuk 30 sangkar besi, 107 batang penanda dari Filipina dan pelbagai jenis vitamin serta ubat-ubatan untuk ayam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tiga lelaki yang ditahan termasuk seorang warga Indonesia dan seorang warga Filipina, berusia antara 38 hingga 59 tahun.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan 2015 kerana disyaki mengimport haiwan tanpa lesen.
Sementara itu, Azmi berkata polis turut menjalankan 179 serbuan di seluruh negara dan menahan 314 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barang tidak bercukai, kebocoran barang kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, pemerdagangan hidupan liar dan operasi e-waste.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh ini dianggarkan sebanyak RM550,947,488.81,” katanya.






