Shahelmey Lepaskan Jawatan Presiden SAFA, Berkuatkuasa 1 Januari 2026

Shahelmey Lepaskan Jawatan Presiden SAFA, Berkuatkuasa 1 Januari 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Beliau berkata, surat rasmi peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Setiausaha Agung SAFA pada minggu lalu, selaras dengan tatacara serta perlembagaan persatuan.

“Peletakan jawatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan surat rasmi telah saya serahkan kepada Setiausaha Agung SAFA minggu lepas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Shahelmey memaklumkan, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan urusan pentadbiran serta hala tuju kepimpinan persatuan susulan keputusan berkenaan.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukan beliau dalam kepimpinan bola sepak negeri, selain membuka ruang perbincangan berkaitan peralihan kepimpinan SAFA pada masa hadapan.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung pengganti atau mekanisme pelantikan kepimpinan baharu SAFA.