RANAU: Dua lelaki cedera selepas sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas sendiri dalam satu kemalangan jalan raya di hadapan premis J&T, malam semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pada jam 9.14 malam dan tiba di lokasi kira-kira satu minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan dua mangsa, di mana seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan manakala seorang lagi terperangkap di dalam kereta.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum kedua-duanya diberi rawatan awal.
“Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” kata seorang pegawai jurucakap.
Menurutnya, salah seorang mangsa dilaporkan cedera parah. Walau bagaimanapun, identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.48 malam dengan kekuatan tujuh anggota bomba dan satu jentera FRT.






