Timbang Keupayaan Ibu Bapa Anjur Konvokesyen Sekolah

Timbang Keupayaan Ibu Bapa Anjur Konvokesyen Sekolah

0
SHARE
Arifin
Ariffin (tiga kiri) menyampaikan cenderakenangan kepada Mohd Fadhly (tiga kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penganjuran acara konvokesyen atau majlis anugerah sekolah disaran mempertimbangkan keupayaan ibu bapa atau para penjaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihak sekolah atau jabatan yang berkenaan perlu melihat perkara yang lebih utama agar tidak membebankan golongan ibu bapa.

“Kita boleh menganjurkan acara di lokasi yang biasa kita anjurkan seperti di sekolah atau dewan masyarakat dan ini juga adalah salah satu yang perlu kita fikirkan.

“Saya harapkan pihak yang terlibat dalam hal penganjuran program melihat kepentingan atau keutamaan dan keperluan atau keupayaan ibu bapa,” katanya ketika ditemui media semasa program Ceramah Perdana sempena Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di sini, semalam.

Mengulas mengenai program ceramah tersebut, Arifin mengajak masyarakat agar memperingati iktibar sejarah Israk Mikraj dan mempraktikkannya dalam kehidupan.

“Pertama, kita perlu mengimarahkan atau memakmurkan masjid dan kedua kita perlu menguasai ilmu pengetahuan meliputi pelbagai bidang bukan sahaja berhubung ilmu agama tetapi juga meliputi sains, teknologi dan sebagainya.

“Disebutkan tadi betapa penglibatan anak-anak kita dalam bidang ilmu sains dan teknologi masih agak rendah justeru kita akan memperjuangkannya untuk meningkatkan penguasaan ilmu ini.

“Ketiga, solidariti, perpaduan, rasa kemanusiaan dalam kalangan kita, bila disebut Israk salah satunya berhubung Al-Aqsa, yang sedang kita perjuangkan Palestin yang mana mereka hadapi cabaran, perlu mendapat solidariti daripada seluruh umat Islam,” jelas beliau.

Program ceramah di Dewan Sa’adah Wisma MUIS dihadiri kira-kira 5,000 umat Islam dan ceramah disampaikan oleh Penceramah Bebas, Mohd Fadhly Hasbullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Manis. — JABATAN PENERANGAN SABAH