SRU Sabah 2023 Meningkat 0.94 Peratus

SRU Sabah 2023 Meningkat 0.94 Peratus

0
SHARE
Arifin
Arifin (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Pelajar Terbaik SRU kepada murid SAN Tudan Baru Keningau, Ifti Liyana Ronnie (empat dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan peningkatan 0.94 peratus bagi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) bagi tahun 2023.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata bagi Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun 2023 pula tiada perbandingan dibuat memandangkan peperiksaan tahun 2023 menggunapakai kurikulum baharu.

“Peningkatan positif ini menunjukkan pentadbir sekolah, guru dan pelajar komited dalam mencapai kecemerlangan demi memastikan kualiti pendidikan dapat diperkasa.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sentiasa komited dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan pelajar di semua Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

“Kerajaan juga akan terus berusaha menyediakan kemudahan pembelajaran, infrastruktur, prasarana serta latihan keguruan bagi membina kecekapan dan memastikan keberkesanan proses Pengajaran dan Pembelajaran.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas penyediaan dana dermasiswa kepada guru-guru agama yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi” ujarnya dalam sidang media Keputusan Peperiksaan SRU dan SMU Tahun 2023/2024 di sini, pada Khamis.

Di samping itu, Arifin yang juga Exco Pendidikan Negeri memaklumkan seramai 5,250 calon menduduki peperiksaan SRU melibatkan 129 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

“Daripada jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut, seramai 3,891 pelajar telah lulus dengan mumtaz 50 orang, jayyid jiddan 354 orang, jayyid 1,927 orang dan maqbul 1,560 orang.

“Manakala bagi SMU, seramai 368 calon telah lulus dengan mumtaz 29 orang, jayyid jiddan 116 orang, jayyid 135 orang dan maqbul 88 orang menjadikan statistik kelulusan sebanyak 92.9 peratus,” katanya.

Sebanyak 112 Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan lapan buah Sekolah Agama Negeri (SAN) mencapai keputusan lulus 100 peratus antaranya SAN Integrasi Putatan (SANIP), SAN Kg. Tebobon Menggatal, SAN Pekan Kota Belud, SAN Pekan Tenom dan SAN Takuli Beaufort.

Hadir sama, Pengarah JHEAINS, Jumain Abdul Ghani, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam JHEAINS, Ag Juri Ag Tahir dan Timbalan Pengarah Pendidikan JHEAINS, Abd Rahman Talipudin. — JABATAN PENERANGAN SABAH