KOTA KINABALU, SABAH Ahli Majlis Tertinggi Parti WARISAN, Chen Ket Chuin, rupanya salah tarikh dan alamat dalam percubaan memperlekeh usaha kerajaan negeri mengindustrikan Sabah.
Chen dalam sebuah kenyataan berkata telah melawat pejabat kumpulan Kibing di Menara MAA pada Rabu (20 Dis) bagi melihat perkembangan kilang kaca solar tersebut.
Beliau kemudian berkata kesemua pekerja dalam pejabat itu berwarganegara China dan bercanggah dengan 1,100 peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah seperti diumumkan kerajaan negeri.
Setiausaha Politik kepada Menteri Perindustrian Pembangunan dan Keusahawanan Sabah (MIDE), Chan Loong Wei, menjelaskan bahawa lawatan sepatutnya ke kilang Kibing di Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP).
Difahamkan sebelum ini, MIDE memanjangkan jemputan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk melawat kilang itu. Namun tarikh yang dipilih adalah pada bulan Januari 2024.
“Tindakan Chen untuk cuba menjatuhkan usaha kerajaan negeri dengan tuduhan palsu jelas dilakukan atas dasar ‘political mileage’.
“Saya sendiri berhubung dengan Chen dan setiausahanya. Mereka berdua faham bahawa lawatan itu dijadualkan pada Januari tahun depan.
“Ini membuat saya bimbang tentang generasi baru pemimpin WARISAN. Kenapa Chen tetap memilih untuk melawat Menara MAA berbanding kilang Kibing di KKIP dan pada tarikh yang salah?
“Walau bagaimanapun, beliau masih boleh hadir dalam lawatan itu nanti,” kata Chan dalam sebuah kenyataan balas.
Chan juga mengecam kelakuan Chen yang beliau mengelar sebagai tidak profesional dan tidak wajar terhadap pelabur asing yang secara aktif menyumbang kepada perindustrian dan pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Malah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz, telah memuji pelaburan Kibing dan kesan positifnya terhadap penciptaan pekerjaan untuk rakyat Sabah.
“Adakah ini cara Chen atau WARISAN melayan pelabur tulen? Kerajaan Persekutuan sendiri memberi kredit kepada Kibing tetapi Chen dan pihaknya tetap tidak menghargainya,” tegas Chan.
Chan berkata lebih baik mengelak dari melakukan serangan politik dan sebaliknya bekerjasama untuk menarik pelabur ke Sabah.
Berhubung isu pekerjaan, katanya, Kibing telah membantu rakyat Sabah dengan pekerjaan yang lebih baik bersertakan gaji yang kompetitif.
“Saya secara peribadi mempunyai ‘junior’ dan bekas rakan sekelas anak jati Sabah yang bekerja di pelbagai jabatan di Kibing,”
“Di sini saya berkongsi beberapa contoh untuk Chen. Thomas dari Keningau kini berkhidmat di Kibing sebagai jurutera elektrik, gaji bulanannya melebihi RM 3,200.
“Salina dari Tawau, berkhidmat sebagai perkhidmatan pelanggan dan pengurus pejabat memperoleh pendapatan lebih daripada RM 7,000 setiap bulan di Kibing.
“Lim yang juga dari Tawau memperoleh pendapatan lebih daripada RM 4,000 setiap bulan semasa berkhidmat sebagai eksekutif pemasaran.
“Semua ini contoh nyata. Saya boleh tunjukkan kepada Chen secara peribadi semasa lawatan pada Januari nanti. Dia boleh bertanya kepada pekerja di sana sendiri,” Chan berkata.





