JOHANNESBURG, AFRIKA SELATAN – Kadar jangkitan meningkat di seluruh Afrika Selatan akibat varian baharu coronavirus, Omicron, namun mereka yang maut atau dimasukkan ke hospital untuk rawatan lebih rendah, berbanding gelombang COVID-19 sebelum ini.
Memetik laporan AFP, Pegawai Kesihatan dari Institut Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit (NICD), Michelle Groome, berkata pada Rabu lalu, Afrika Selatan merekodkan jumlah jangkitan tertinggi yang pernah disaksikan negara itu ketika pandemik, disebabkan penularan pantas Omicron.
“Kadar kemasukan ke hospital tidak meningkat pada kadar yang begitu dramatik…
“Kami mula melihat ada peningkatan, namun peningkatan yang agak kecil dalam kematian,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Seorang lagi pegawai dari NICD, Wassila Jassat, berkata jumlah individu yang memerlukan oksigen “lebih rendah berbanding mana-mana tempoh gelombang sebelum ini”.
“Pesakit tinggal untuk tempoh yang lebih singkat,” katanya.
Menteri Kesihatan, Joe Phaahla, berkata data itu tidak bermaksud Omicron kurang berbahaya tetapi vaksin yang menghalang kesakitan yang lebih serius.
“Ia mungkin disebabkan liputan pelalian yang tinggi, terutama dalam kalangan warga emas,” katanya.
Kira-kira 31 peratus penduduk sudah divaksinasi penuh, dan jumlah itu meningkat kepada 66 peratus (66%) bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun. Golongan yang lebih berusia ialah yang paling berisiko mendapat simptom serius.
Strain Omicron yang bermutasi tinggi pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan Botswana bulan lalu, yang mencetuskan panik pada peringkat global kerana kebimbangan lebih cepat menular daripada varian lain.