KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggariskan TIGA (3) syor bagi menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh negara pada ketika ini, demikian menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Mengerusi MPN semalam.
Menurutnya, TIGA (3) syor berkenaan adalah:
- Strategi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19;
- Pembiayaan dan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS); dan
- Kekurangan tenaga kerja.
MPN turut menyarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperkasakan kempen kesedaran ujian saringan COVID-19 kendiri dan pengambilan suntikan dos penggalak sebagai langkah berhati-hati bagi mengekang penularan virus berkenaan dalam komuniti.
“Majlis juga berpendapat perlunya langkah proaktif dan lebih ketat dalam mengambil kira kemungkinan ancaman varian Omicron dengan terus mematuhi SOP yang ditetapkan…
“Ini penting dalam mengimbangi kepentingan kesihatan awam dan ekonomi negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan pihak MPN bersetuju supaya pembiayaan yang diberikan kepada sektor tersebut melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dapat disusuli dengan tindakan lanjut setelah meneliti cadangan-cadangan oleh Jawatankuasa Tindakan Khas PKS.
Tambahnya lagi, MPN turut berpandangan cadangan bantuan kepada sektor PKS perlu lebih bersasar dengan memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang kritikal.
Mengulas mengenai isu kekurangan tenaga kerja yang sering berbangkit, Muhyiddin berkata, MPN mengesyorkan agar pengambilan tenaga pekerja asing juga perlu diperluaskan kepada sektor ekonomi selain peladangan untuk memastikan sektor-sektor ekonomi yang telah dibuka semula ini dapat beroperasi dengan kapasiti prapandemik.
“Dalam hal ini, pelaksanaannya perlu juga disegerakan dan terselaras agar tidak timbul kesulitan kepada pihak industri yang sedang dalam proses pemulihan…
“Namun, Majlis menyarankan agar Jawatankuasa Tindakan Khas PKS mencari penyelesaian untuk mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing dalam jangka masa panjang,” jelas beliau.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, MPN optimis bahawa momentum positif pemulihan yang ditunjukkan oleh negara pada ketika ini akan berterusan selepas memasuki tahun 2022.
Katanya, proses pemulihan negara perlu diperkukuhkan dengan memastikan semua dasar dan inisiatif pemulihan yang telah diumumkan di bawah Bajet 2022 dilaksanakan pada kadar segera, terselaras, cekap serta berkesan.