GRS Bawa Bukti, Bukan Sekadar Janji, Rakyat Sabah Diseru Terus Sokong GRS...

GRS Bawa Bukti, Bukan Sekadar Janji, Rakyat Sabah Diseru Terus Sokong GRS Pada PRN17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api, Safwan Faisyal Diego, menyeru rakyat Sabah untuk terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang, sambil menegaskan bahawa gabungan itu bukan sekadar menjanjikan perubahan, tetapi telah membuktikan pencapaian yang nyata.

Safwan dalam ucapannya berkata bahawa PRN kali ini adalah lebih daripada sekadar pemilihan wakil rakyat tetapi ia adalah penentu hala tuju masa depan negeri Sabah.

“GRS bukan sekadar bersuara, kita bertindak. Kita tidak mahu Sabah kembali dipermainkan parti luar yang hanya muncul semasa pilihan raya. Kita mahu bukti, rekod, dan keberanian,” tegasnya ketika berucap pada Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat Api-Api di sini, baru-baru ini.

Safwan menekankan beberapa kejayaan utama di bawah pentadbiran GRS yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, termasuklah, rekod kutipan hasil negeri tertinggi iaitu RM6.96 bilion pada tahun 2023.

Selain itu katanya, peruntukan RM1.25 bilion untuk infrastruktur luar bandar seperti jalan kampung, jambatan dan bekalan air bersih, pnubuhan Sabah Energy, syarikat minyak dan gas milik penuh negeri sebagai langkah memperkukuh kawalan hasil sumber negeri serta program Rumah Mesra SMJ yang telah menyediakan kediaman untuk keluarga B40, dengan 3,000 unit tambahan sedang dibina di seluruh Sabah.

Beliau turut menekankan kematangan politik GRS dalam menghadapi tekanan dan pengkhianatan politik yang berlaku namun tetap berdiri teguh dan stabil.

“Kita bukan eksklusif, kita inklusif. Kita tidak tunduk pada tuan luar. Kita berdiri teguh,” katanya.

Menolak dominasi politik luar, Safwan menegaskan bahawa Gagasan Rakyat adalah parti tempatan yang memahami kehendak dan budaya rakyat Sabah tanpa perlu mengikut arahan dari Kuala Lumpur.

“Kita bukan anti-pusat, tapi kita tidak akan kompromi maruah kita. Suara Sabah mesti didengari dan dihormati,” ujarnya.

Safwan menyeru seluruh jentera Pemuda Gagasan Rakyat agar bersatu tenaga dan semangat untuk memastikan kemenangan dalam PRN akan datang demi meneruskan kesinambungan kepimpinan tempatan yang benar-benar berakar dari bumi Sabah.