Rakyat Sabah Dinasihatkan Buat Persediaan Awal Hadapi El Nino, Cuaca Panas –...

Rakyat Sabah Dinasihatkan Buat Persediaan Awal Hadapi El Nino, Cuaca Panas – Ruslan

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Rakyat di negeri ini dinasihatkan agar membuat persediaan awal bagi menghadapi fenomena El Nino yang diramalkan akan berlaku pada bulan depan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata disamping itu beliau juga turut mengingatkan rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan cuaca panas melanda seluruh negara.

Susulan itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu menyarankan agar rakyat mengurangkan aktiviti harian diluar rumah.

“Ia termasuklah menghadkan aktiviti harian terutama diluar rumah kerana kita bimbang ianya akan memberi kemudaratan kepada kesihatan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan dan Ahli Parlimen Sipitang di Bandar Mingo di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya turut bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dalam menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan cuaca panas ketika ini.

“Ini adalah bagi memastikan rakyat kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan cuaca yang berlaku,” katanya.