Dua Warga Filipina Dikhuatiri Lemas Selepas Pertembungan Bot Di Semporna

Dua Warga Filipina Dikhuatiri Lemas Selepas Pertembungan Bot Di Semporna

0
SHARE
Maritim
Bot mangsa yang dilanggar ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

SEMPORNA, SABAH – Dua penumpang warga Filipina terselamat manakala dua lagi rakan mereka dikhuatiri lemas apabila bot yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah bot lain di Perairan Pulau Sebangkat pada pukul enam pagi, Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT).

Katanya, Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi misi menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki empat orang mangsa dikatakan keluar ke laut pada Isnin lima jam lima petang sebelum bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan.

“Individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri,” jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Amir turut memaklumkan, dua orang penumpang yang terselamat dikenali sebagai Reymar (30 tahun) dan Bocoi (30 tahun).

“Namun, Reymar mengalami cedera parah di lengan, lutut serta belakang badan dan telah mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna manakala dua orang penumpang yang dikenali sebagai Rommek Tura (30 tahun) dan Jimal (30 tahun) masih hilang.

“Memasuki hari ketiga pencarian, OP CARILAMAT kini diperluaskan kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi,” jelasnya.

Selain Maritim Malaysia, OP CARILAMAT terbabit turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM),Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Taman-Taman Sabah.