MUIS, Perkips dan Roche Bantu Pesakit Kanser

MUIS, Perkips dan Roche Bantu Pesakit Kanser

0
SHARE
Muis
Yahya (tiga dari kiri) merakam gambar kenangan selepas menandatangani MOU persefahaman ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (Perkips) dan Roche Malaysia Sdn Bhd mewujudkan Model Zakat for HER membantu lebih ramai pesakit kanser dapatkan rawatan.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif berkata model tersebut praktikal untuk menyatukan pembiaya, mewujudkan usaha kolektif untuk menyokong kos rawatan bagi individu yang menghadapi cabaran kewangan dalam kumpulan berpendapatan B40 dan M40.

“Model ini bertujuan mendapatkan dana direka khas yang menyasarkan rawatan kepada pesakit awal kanser payudara positif HER-2, terutamanya individu muslim yang layak untuk rawatan neoadjuvant, berdasarkan kriteria yang dipersetujui oleh pakar onkologi.

“Proses pemilihan adalah bertujuan untuk menampung kekangan kewangan yang dihadapi oleh pesakit yang mana inisiatif rawatan ini akan berterusan untuk tempoh setahun atau sehingga kuota 14 pesakit habis, ia juga mencerminkan komitmen untuk menangani keperluan unik demografi ini dalam perjalanan rawatan kanser mereka.

“Penyelesaian yang dicadangkan adalah strategi yang pragmatik yang menggalakkan pembiaya menyumbang melalui CSR atau derma seterusnya mewujudkan model mampan yang melampaui batasan tradisional.

“Dengan kerjasama ini, kita mampu memupuk inovasi untuk melabur pada masa depan mereka yang terjejas oleh kanser, penglibatan Roche Sdn Bhd juga menandakan komitmen pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk peningkatan kesihatan komuniti kita,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dalam Majlis Menandatangani Kerjasama Persefahaman di antara MUIS dan Perkips Serta Roche (Malaysia) Sdn Bhd di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Timbalan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Sabah, Awang Syairin Awang Bakar, Pengarah Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah, Dr. Marcus Netto, Yang Di-Pertua PERKIPS, Dr. Samsul Tuah, dan Country Disease Area Lead Roche (Malaysia) Sdn Bhd, Koh Wan Ling. — JABATAN PENERANGAN SABAH