Atlet Sukan Saga Putatan Terima Insentif Tambahan

Atlet Sukan Saga Putatan Terima Insentif Tambahan

0
SHARE
Shahelmey

PUTATAN, SABAH – Atlet Sukan Sabah (SAGA) Kontinjen Putatan bakal menerima insentif tambahan sebagai galakan untuk prestasi sukan yang cemerlang.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Putatan berkata, atlet yang menyumbang pingat emas bagi acara individu akan menerima insentif tunai sebanyak RM500, pingat Perak RM300 dan Gangsa RM100.

“Manakala, bagi acara berpasukan seperti sukan hoki, ragbi, bola keranjang dan lain-lain akan menerima RM2,000 bagi setiap pasukan yang memenangi pingat emas, pingat perak RM1000 dan pingat gangsa RM500.

“Semoga dengan adanya suntikan insentif tambahan ini, para olahragawan dan olahragawati yang mewakili daerah Putatan akan berusaha lebih gigih bagi mempamerkan prestasi yang baik pada Sukan SAGA Edisi Ke-10 pada tahun ini,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Khas dan Penyerahan Bendera Kontinjen SAGA Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Selasa.

Shahelmey turut berpesan kepada para atlet untuk mempamerkan semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi sepanjang temasya sukan tersebut berlangsung.

“Dalam masa yang sama kukuhkan kerjasama berpasukan sesama atlet, jurulatih dan petugas teknikal serta berilah sokongan kepada rakan-rakan yang bertanding agar semangat kesukanan dapat dirasai bersama…

“Adalah diharapkan dengan semangat kesukanan yang tinggi dan insentif yang diberikan kepada para atlet, pasukan SAGA Putatan akan peroleh kejayaan sekaligus memperbaiki kutipan jumlah pingat yang diperolehi kontinjen Putatan pada pada temasya SAGA yang lalu,” tambahnya.

Kontinjen SAGA Daerah Putatan akan bersaing merebut pingat bagi 16 acara daripada 103 acara sukan yang dipertandingkan pada temasya SAGA Edisi Ke-10 yang berlangsung dari 16 hingga 22 Disember ini di Bandaraya Kota Kinabalu.

Hadir sama, Pengerusi Qhazanah Technologies Sdn Bhd merangkap ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh, serta Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton.

JABATAN PENERANGAN SABAH