Sentiasa Jaga Keselamatan, Kesihatan Diri – Shahelmey

Sentiasa Jaga Keselamatan, Kesihatan Diri – Shahelmey

0
SHARE
Shahelmey
Adnan Juana (dua dari kanan) menerima sumbangan Bantuan Prihatin Miskin Tegar daripada Shahelmey sambil disaksikan Masawi (kiri) dan Ahmad Sah (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Masyarakat dinasihat agar sentiasa menjaga keselamatan dan kesihatan diri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya berkata kesan Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa episod hujan lebat yang berterusan boleh mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di kawasan-kawasan yang berisiko.

“Masyarakat terutama di daerah ini kita minta agar sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia apabila berlakunya kejadian hujan lebat yang berterusan yang mungkin boleh mengakibatkan banjir kilat.

“Sentiasa bersiap sedia dan patuhi arahan-arahan daripada pihak-pihak berkuasa tempatan sekiranya diarahkan berpindah bagi tujuan keselamatan,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Miskin Tegar dan Majlis Amanat Khas serta Simbolik Penyerahan Bendera Kontinjen Sukan Sabah (SAGA) Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Selasa.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan turut menyeru masyarakat untuk sentiasa menjaga keselamatan diri terutama mematuhi langkah-langkah bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang kini telah mencatat peningkatan 100 kes sejak beberapa minggu yang lalu.

“Orang ramai tidak perlu gusar kerana mengikut rekod yang diberikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah kes yang dihadapi adalah kes berstatus 1 dan 2.

“Namun, selaku masyarakat yang bertanggungjawab harus mengambil langkah-langkah pencegahan sekiranya mengalami gejala-gejala yang berkaitan dengan Covid-19.

“Oleh itu, sesiapa yang mempunyai gejala Covid-19 silalah buat pemeriksaan kendiri atau ke klinik-klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan yang sepatutnya,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Shahelmey menyampaikan Bantuan Prihatin Miskin Tegar Parlimen Putatan kepada 81 penerima bagi meringankan beban kewangan kepada individu atau keluarga yang menghadapi kesulitan akibat peningkatan kos sara hidup.

Hadir sama, Pengerusi Qhazanah Technologies Sdn Bhd merangkap ADUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh serta Ketua Polis Daerah Penampang Superitendan Sammy Newton. — JABATAN PENERANGAN SABAH