Rakyat Perlu Sentiasa Bersatu – Jeffrey

Rakyat Perlu Sentiasa Bersatu – Jeffrey

0
SHARE
Jeffrey
Jeffrey (kanan) ketika menerima cenderahati daripada Melter (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Rakyat perlu sentiasa bersatu walaupun mempunyai perbezaan agama dan kepercayaan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey G.Kitingan berkata, sebagai satu komuniti kita perlu berusaha untuk mempromosikan perdamaian, kasih sayang dan pemahaman dalam masyarakat kita.

“Kita bernasib baik kerana sebagai Sabahan meraikan semua perayaan tanpa rasa segan walaupun mempunyai perbezaan agama dan kepercayaan maka kita perlu kekalkan keunikan negeri ini demi keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat.

“Sabah mempunyai kepelbagaian dan perbezaan bukan menjadi penghalang tetapi menjadi jambatan perpaduan dalam masyarakat dan sabah merupakan contoh kepada negara luar.

“Di samping, mengingatkan bahawa kita semua adalah satu komuniti dan perlu berusaha dalam mempromosikan perdamaian, kasih sayang, dan pemahaman dalam masyarakat.

“Dalam kita merayakan perayaan ini, janganlah lupa makna sebenar Krismas iaitu kasih, belas kasihan dan kebaikan kepada semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Kota Kinabalu Christmas Celebration 2023 (KKCC) di Padang Merdeka Kota Kinabalu, pada Selasa malam.

Jelasnya, bertemakan “Krismas: Perpaduan dan Harmoni” merupakan satu refleksi nilai-nilai yang harus dipegang teguh dalam musim perayaan ini Ia merupakan seruan untuk bersatu dan bersama-sama walaupun kita mempunyai perbezaan.

Jeffrey juga berharap perayaan tersebut dapat memberikan impak positif dan membawa perubahan yang baik dalam masyarakat.

“Dalam kita bergembira di tengah perayaan ini, marilah kita ingat bahawa kita semua adalah sebahagian daripada satu komuniti yang lebih besar.

“Mari kita gunakan peluang ini untuk menyebarkan kasih, kebaikan, dan perpaduan bukan hanya semasa musim perayaan ini tetapi setiap masa,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Jeffrey yang ditemani isteri, Datin Seri Cecilia Edwin Kitingan turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Majlis Gereja-Gereja Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu atas dedikasi dan kerja keras mereka dalam menganjurkan acara berkenaan.

KKCC berlangsung selama empat hari bermula hari ini melibatkan 150 gerai jualan yang dilihat mampu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Al Hambra Tun Juhar dan isteri, Datin Scarlett Sambinding, Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah, Archbishop Datuk Melter Jiki Tais dan Ketua Pengarah DBKK mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Junainah Abbie. — JABATAN PENERANGAN SABAH