KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan terus menyokong dan bekerjasama dalam semua program anjuran UN-Habitat yang berperanan menyelaras program serta aktiviti berkaitan petempatan manusia selain memastikan persekitaran hidup berkualiti dapat dicapai.
Jelas beliau, Malaysia juga berhasrat memainkan peranan sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UN-Habitat mewakili Asia Pasifik agar penglibatan negara dalam agenda perbandaran mampan dapat diketengahkan.
“UN-Habitat juga komited bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meliputi aspek latihan, pembangunan kapasiti dan penyediaan pelaporan berkenaan kemajuan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan serta keperluan akreditasi dan pensijilan bagi bandar-bandar yang mencapai sasaran kemampanan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Menerusi hantaran itu, Ismail Sabri turut memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat Pengarah Eksekutif UN-Habitat Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif di pejabatnya di Putrajaya, pada Jumaat.
Maimunah merupakan anak tempatan dan wanita pertama di Asia yang memegang jawatan itu.
Perdana Menteri berkata kerajaan yakin UN-Habitat akan terus cemerlang di bawah kepemimpinan Maimunah bagi menjayakan aktiviti dan program berkaitan SDG serta memperluas pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu sebagai agenda semasa global.
Maimunah mula dilantik ke jawatan itu pada 20 Januari 2018 setelah menang pemilihan ketika sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 22 Disember 2017 dan disambung bagi penggal kedua dari 20 Januari 2022 hingga 19 Januari 2024.