AirAsia, STB Tandatangani MoU Tingkat Sektor Pelancongan Sabah Lima Tahun Akan Datang

AirAsia, STB Tandatangani MoU Tingkat Sektor Pelancongan Sabah Lima Tahun Akan Datang

0
SHARE
Airasia
Sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara AirAsia dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) - ( Sumber Foto: Ihsan AirAsia )

KOTA KINABALU, SABAH – AirAsia dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) hari ini mengumumkan kerjasama strategik dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan sektor pelancongan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kerjasama ini dijangka akan memperkukuh status Sabah sebagai destinasi pelancongan utama dengan meningkatkan sambungan udara antara negeri terbabit dan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), serta rantau Asean yang lebih besar, Asia Utara dan Oceania bagi tempoh 2024-2028.

Kumpulan AirAsia berhasrat untuk meningkatkan rangkaian secara keseluruhan di Sabah dan berhasrat untuk melancarkan 14 laluan domestik dan antarabangsa yang menarik termasuk Kota Kinabalu-Bandar Seri Begawan, Kota Kinabalu-Perth, Tawau-Guangzhou, Sandakan-Hong Kong, dan lain-lain.

Pelancaran ini tertakluk kepada permintaan dua hala bagi setiap laluan, kelulusan pengawal selia dan permintaan pasaran.

Kerjasama ini juga merangkumi kolaborasi yang lebih luas antara syarikat penerbangan dan badan pelancongan untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebagai hab penerbangan serantau pada masa hadapan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama secara strategik dengan AirAsia selama lima tahun.

Katanya, kerajaan negeri akan menyokong perbincangan antara syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan berkaitan untuk memacu sektor pelancongan.

Menurutnya, baru-baru ini, Sabah telah dinobatkan sebagai salah satu destinasi mampu milik dan AirAsia telah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini.

“Pada separuh tahun ini, kami telah berjaya menyambut 1.24 juta pelancong ke Sabah dan dengan rangkaian luas AirAsia, kami yakin  untuk menarik lebih ramai pelancong dan menawarkan pengalaman unik di Sabah kepada pengembara di luar rantau ini.

“Kemajuan pelancongan juga akan memberi faedah kepada ekonomi tempatan dalam pelbagai industri dan mencipta peluang pekerjaan secara langsung dalam pelbagai sektor seperti hospitaliti, pengangkutan, dan peruncitan.

“Sehingga tahun 2022, sektor pelancongan telah menyumbang kepada 22.8 peratus pekerjaan di negeri ini, termasuk jawatan di hotel, restoran, agensi pelancongan, dan pusat pelancongan tempatan.

“Kemasukan pelancong menghasilkan pendapatan tambahan bagi perniagaan tempatan serta menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kawasan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group Datuk Kapten Chester Voo berkata kerjasama terbabit menandakan langkah penting bagi pihaknya untuk memperluas rangkaian dari hab kedua terbesar di Malaysia.

Katanya, ia juga menawarkan lebih banyak peluang perjalanan kepada rakyat di negeri ini untuk meneroka dunia dan bagi dunia untuk mengenali dan menerokai Sabah.

“Sejak tahun 2002, kami telah menerbangkan hampir 80 juta penumpang ke dan dari Sabah melalui laluan domestik dan antarabangsa. Kami berharap untuk melihat jumlah ini berkembang dengan pesat dalam tempoh lima tahun akan datang melalui kerjasama ini.

“Pada tahun 2023, AirAsia telah menyumbang kepada 60 peratus bahagian pasaran pelancongan di Sabah, menunjukkan potensi besar negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama.

“Peningkatan rangkaian membawa lebih ramai pelancong antarabangsa ke Sabah, menggalakkan pertukaran budaya dan membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor.

“Dengan sokongan berterusan para tetamu dan rakan kongsi kami, AirAsia akan memainkan peranan penting dalam menjadikan Sabah sebagai pusat pelancongan pesat, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat setempat,” katanya.