Sumbangan Malaysia Kepada Palestin Amat Diperlukan – PICOM

Sumbangan Malaysia Kepada Palestin Amat Diperlukan – PICOM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sumbangan bantuan dua hala Malaysia kepada Palestin sememangnya merupakan usaha yang amat diperlukan, kata Pertubuhan Palestinian Culture Organisation Malaysia (PICOM).

Pengerusinya Muslim Imran berkata Malaysia secara konsisten memberikan sokongan kukuh kepada Palestin dan perjuangan penduduknya dari segi politik, ekonomi dan moral, selaras dengan prinsip Malaysia untuk berdiri teguh bersama Palestin.

“Saya sanjung Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap usahanya (sumbangan dua hala). Malaysia sentiasa di barisan hadapan dalam memberi sokongan terhadap perjuangan Palestin,” katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.

Muhyiddin dalam perutusan khas berhubung isu Palestin yang disiarkan oleh Bernama TV dan stesen penyiaran tempatan hari ini berkata, Malaysia akan terus membuat sumbangan dua hala kepada Palestin, di samping menyalurkan sumbangan kepada badan antarabangsa yang lain.

Tan Sri Muhyiddin Yassin…

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia sedih dan kecewa dengan ketidakupayaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) untuk segera menghentikan keganasan Israel terhadap penduduk Palestin, dan mengatakan bahawa serangan itu terhadap Palestin itu merupakan jenayah perang yang melanggar Konvensyen Geneva Keempat 1949.

Sementara itu, Muslim percaya Malaysia, Indonesia dan Brunei berupaya memberi tekanan kepada UNSC untuk bertindak segera memastikan Israel menghentikan serangan terhadap penduduk Palestin, di samping memberi tekanan kepada Amerika Syarikat untuk menghentikan bantuan kepada Israel.

Beliau berkata Malaysia yang memang dihormati di peringkat antarabangsa, dengan statusnya dan berdiri sebaris dengan negara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan keanggotaan Indonesia dalam UNSC, akan membolehkan ia memainkan peranan dalam memberi tekanan kepada badan dunia itu untuk meletakkan Israel sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keganasan, dan menghentikan serangannya terhadap Palestin.

Pengerusi Pertubuhan Palestinian Culture Organisation Malaysia (PICOM), Muslim Imran…

Menyentuh inisiatif yang diterajui Malaysia, bersama dengan Indonesia dan Brunei dalam mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk serangan Israel, Muslim berharap ketiga-tiga negara itu akan mengetengahkan isu betapa sikap Israel yang tidak menghormati kebebasan beragama, dan pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin.

“Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei sudah pun mengeluakan kenyataan keras menyokong Palestin dan mengecam Israel. Saya harap mereka akan terus ke peringkat berikutnya bekerjasama secara konsep bagi menyisihkan Israel di peringkat antarabangsa, dan membawa Israel kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” tambahnya.

Muslim turut memuji sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia serta rakyat negara ini kepada Palestin selama ini, dan berharap ia akan berterusan, terutama selepas gesaan Muhyiddin untuk orang ramai terus memberi sumbangan kepada Palestin menerusi dana kebajikan sah yang ditubuhkan bagi tujuan itu.

Pada masa yang sama, Muslim juga berharap rakyat Malaysia akan berdiri teguh dalam kerjasama mengumpul dana buat kepada Palestin bagi membantu dari pelbagai sudut termasuk pendidikan, bantuan perubatan, misi keamanan dan sebagainya, di samping mengucapkan terima kasih terhadap sokongan rakyat Malaysia di media sosial yang mewujudkan beberapa tanda pagar (hashtags) termasuk #koyakIsrael.

Keganasan Israel baru-baru ini dilaporkan bermula dengan pencerobohan dan serangan di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei dan serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin.

– BERNAMA