KENINGAU, SABAH – Sabah mempunyai potensi besar untuk mengintegrasikan ruminan dengan ladang kelapa sawit sebagai strategi meningkatkan tahap sara diri negeri dalam pengeluaran bekalan daging.
Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata dengan keluasan kira-kira 2 juta hektar ladang kelapa sawit, terdapat peluang untuk integrasi dan seterusnya mengurangkan kebergantungan negeri kepada import daging dari luar negara.
“Kebelakangan ini, menjadi satu cabaran bagi kita untuk meningkatkan sara diri terhadap daging ruminan kerana pelbagai faktor seperti kenaikan harga makanan ruminan akibat krisis Rusia-Ukraine, pandemik Covid-19 dan perubahan iklim global.
“Ini telah menjejaskan pengeluaran bahan mentah untuk makanan ruminan seperti soya, jagung dan gandum di negara pengeluar.
“Justeru, kita perlu memikirkan cara untuk menghasilkan bekalan daging sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Ladang Peringkat Negeri di sini,” hari ini.
Beliau berkata penyepaduan ruminan dengan perladangan adalah strategi yang boleh dilaksanakan memandangkan kek isirung sawit merupakan salah satu sumber makanan ruminan serta pelepah sawit.
Selain ladang kelapa sawit, Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Keningau, berkata tanah terbiar boleh digunakan untuk menanam rumput terutamanya rumput napier sebagai sumber makanan ruminan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Dr Hjh Normah Yusop berkata tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging di Sabah adalah di bawah 10 peratus iaitu sangat rendah.
Jeffrey berkata Sabah masih sangat bergantung kepada import dari negara seperti India dan Australia.
Bagaimanapun, jabatan itu katanya telah mengambil langkah untuk meningkatkan tahap sara diri dengan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan untuk membangunkan industri ruminan di negeri ini.
Antara perancangan strategik itu ialah membangunkan Lembah Tenusu Borneo melalui kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB) dan Pusat Intergrasi Ternakan Keningau (KLIC).
Kerjasama lain katanya ialah dengan Sawit Kinabalu mengenai penternakan lembu yang kemudiannya akan diagihkan kepada pekebun kecil.
Turut hadir Menteri Muda Pertanian dan Nelayan Datuk James Ratib dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan Robert Stidi antara lain.





