James Ratib Salur Starlink, Perahu Bantu 700 Mangsa Banjir di Paitan

James Ratib Salur Starlink, Perahu Bantu 700 Mangsa Banjir di Paitan

0
SHARE

PAITAN: Kerajaan negeri mengambil tindakan segera menyalurkan kemudahan internet satelit Starlink serta bantuan logistik bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir besar di kawasan Sugut, Paitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut merangkap Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, banjir kali ini disifatkan antara yang terbesar dalam sejarah kawasan berkenaan, melibatkan sebanyak 87 kampung.

Setakat ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa.

Menurut beliau, sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi, sekali gus menyukarkan penyelarasan bantuan.

“Saya telah mengarahkan Sabah Net Sdn Bhd untuk menyelaras dan mempercepatkan pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung-kampung yang terputus jaringan komunikasi.

“Kemudahan ini penting bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan pihak berkuasa serta ahli keluarga, di samping melancarkan penyelarasan bantuan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, kerajaan negeri turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa ke PPS serta mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air.

James berkata, penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik tersebut amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin serta operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tersusun.

“Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih,” tegasnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh banjir berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu di beberapa kawasan.