Bilangan Kes Kereta Terkunci Di Lahad Datu Mencanak

Bilangan Kes Kereta Terkunci Di Lahad Datu Mencanak

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – Kes kereta terkunci disekitar daerah ini mencatatkan jumlah yang tinggi sejak permulaan tahun baru 2023.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PPGB Sumsoa Rashid, lebih membimbangkan apabila kebanyakan kes tersebut melibatkan mangsa kanak-kanak yang terperangkap didalamnya.

“Sepanjang 30 hari yang lalu, terdapat lima kes kenderaan terkunci dan empat kes daripadanya melibatkan kanak-kanak yang terperangkap.

“Kes yang terkini melibatkan seorang kanak-kanak yang masih kecil menghadapi detik-detik cemas apabila berseorangan didalam sebuah kenderaan yang terkunci,” katanya.

Pasukan BBP Lahad Datu dengan kekuatan tujuh orang anggota bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada jam 10.27 pagi.

“Setelah tiba di kawasan tempat letak kereta Econsave 2, didapati benar terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terkunci dengan keadaan seorang kanak-kanak berada didalamnya.

“Pasukan bomba dengan segera bertindak membuka pintu kenderaan tersebut menggunakan beberapa peralatan khas.

“Setelah berusaha hampir 10 minit, akhirnya pintu dapat dibuka,” katanya.

Beliau berkata kanak-kanak tersebut kemudiannya berjaya dikeluarkan dengan selamat dan diserahkan kepada keluarganya yang turut menyaksikan operasi penyelamatan tersebut.

Sumsoa menasihatkan orang ramai khususnya di daerah Lahad Datu agar lebih berhati-hati dan peka terhadap kes sebegini.

“Setiap pemilik kenderaan perlulah lebih prihatin dan memahami keadaan kenderaan masing-masing agar kejadian pintu terkunci dengan sendirinya tidak berlaku,” katanya.